Tuesday, May 3, 2011

MESYUARAT AGUNG PIBG SKPP









Mesyuarat Agung PIBG SKPP 2011 telah selamat diadakan pada hari Jumaat 15/4/2011 lepas. Pegawai Pelajaran Daerah Tumpat Tuan Haji Zakaria Awang Chik telah sudi hadir berucap merasmikan mesyuarat tersebut. Sehingga 2011, ini adalah kali ketiga berturut-turut beliau hadir meraikan Mesyuarat Agung PIBG SKPP. Menurutnya inilah kali terakhir beliau dapat bersama warga SKPP kerana tahun depan akan bersara wajib dari perkhidmatan awam.

Dalam ucapannya, beliau menaruh harapan tinggi kepada Guru Besar dan seluruh warga sekolah agar meningkatkan azam untuk mencapai kecemerlangan dalam UPSR 2011. Katanya Gred Purata Sekolah dan jumlah peratus kelulusan mesti dicapai dan sekaligus mendapat peluang untuk anugerah Bai'ah daripada Kementerian Pelajaran Malaysia.

Turut memeriahkan mesyuarat tersebut ialah persembahan tilawah al-Quran, bercerita kisah al-Quran dan alunan lagu-lagu nasyid oleh kumpulan an-Naim yang berjaya mewakili PPD ke peringkat negeri dalam Majlis Tadarus al-Quran (MTQ) Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia 2011.

Hadir sama menerima hadiah galakan dan penghargaan daripada PIBG pada hari berkenaan ialah para pelajar yang merupakan calon UPSR 2010 yang berjaya mendapat 5A dan sekarang ini sedang melanjutkan pelajaran di Tingkatan 1 di beberapa buah sekolah termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan sebagainya.

Mesyuarat juga diwarnai dengan cabutan bertuah yang memberi peluang kepada ahli PIBG yang terdiri daripada ibu bapa dan guru membawa pulang hamper berupa makanan dan minuman sebagai buah tangan atas kesabaran menunggu sehingga selesai mesyuarat.

Terima kasih kepada ibu bapa yang hadir bersama-sama pihak sekolah memberi perangsang kepada guru-guru dan anak-anak demi kecemerlangan SKPP yang dikasihi.

No comments:

Post a Comment